Khamis, 13 Ogos 2015

DIRI YANG TERBIAR


Jangan sekali-kali lupa di hujung kelelahanmu menempuh cabaran dunia ini, AMBILLAH SEDIKIT WAKTU UNTUK MEMBINA DIRIMU KEMBALI.

Kau mesti berfikir begitu. Jangan kaurisau dengan penderitaan kerana ia bukan dosa. Jangan kausedih dengan kesusahan kerana ia bukan kesakitan. Risaulah dengan dosa. Bersedihlah dengan ibadahmu yang tidak sempurna.

Ujian yang saudaraku pasti tempuh dalam proses pembaikan diri ini sebenarnya telah mengangkat saudaraku ke satu tingkat yang lebih baik. Lihatlah sekitar saudaraku. Jika saudaraku seorang wanita dan kini mula mengenakan tudung labuh sebagai rutin harianmu, bukan sahaja saudaraku akan mendapat ramai rakan yang sependirian sama, malah rakan-rakanmu yang tidak mengenakan tudung labuh akan berasa senang berdampingan denganmu. Jika saudaraku seorang lelaki dan mula melaungkan azan di corong masjid, bukan sahaja kau berasa dirimu mampu melaksanakan tugas suci itu, tetapi semua ahli kariah berasa lapang dada kerana mereka sudah mendapat satu mutiara baru dalam penyebaran syiar agama Allah ini. Dengan perubahan diri ini, saudaraku sebenarnya menjadi lebih hebat dan berwibawa.

Dalam meniti sejarah kegemilangan Islam, nyatakan kegemilangan Islam itu berdiri di atas peranan umatnya yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah s.a.w. Mereka mengerjakan perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar. Apabila Saidina Umar mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, "Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah"
Ingatlah, tidak ada kejayaan tanpa kesusahan. Tidak ada kemenangan tanpa perjuangan. Kesusahan itulah yang akan menjadi kenang-kenangan serta pedoman untuk mentadbir diri tatkala beroleh kesenangan nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan