Isnin, 2 Disember 2013


MUHASABAH DIRI

Usahlah lupa diri wahai diriku yang kerdil. Usah angkuh dan sombong wahai diriku yang lemah. Usah binasakan dirimu wahai diriku untuk kehidupan akhirat dengan berharap kepada makhluk selemahmu. Jasadmu adalah sangkar ruh. Jagalah kesihatannya dan jagalah hak-haknya. Jiwamu akan diangkat menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Bersedialah untuk urusan itu.

Ingat selalu akan Luqman Al- Hakim pernah berpesan kepada anaknya :

Sepanjang hidupku, aku hanya memilih lapan kalimah daripada pusaka para nabi untuk dijadikan pegangan hidup, iaitu :

Apabila engkau solat, jagalah baik-baik fikiranmu

Apabila engkau bertandang ke rumah orang lain, jagalah baik-baik pandangan matamu

Apabila engkau di majlis, jagalah lidahmu

Ingatlah kepada Allah SWT sepanjang masa

Ingatlah akan mati, iaitu bersedia hadapi maut

Lupakan budi baikmu terhadap orang lain

Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu

Isnin, 22 Julai 2013

PULANG KE PANGKUANMU

Cuba kubayangkan keadaan ibu setibaku ke rumah nanti. Tentu ibu sedang menunggu sambil mengayam ketupat daun palas atau sedang membakar lemang atau sedang merendang daging di dapur dan kulihat wajahnya gembira menyambut kepulangan anak cucunya.

“ Balik kampung,” bisik hatiku girang. Hari raya ini ingin kupersembah kepada ibu sebuah kasih yang tiada sempadan. Lalu kutelefon ibu. Ibu menjawab spontan.

Ketibaanku bersama-sama isteri dan anak-anak sesarat kereta tepat waktunya dan tidak lupa ole-ole biskut dan kuih Raya kurangkum bersama-sama.

Ketika keretaku berhenti di halaman rumah, Kulihat ibu menekuni pembacaan al-Quran di beranda dan ketika anak-anakku keluar dari kereta, dia menjengah muka. Ingin pastikan anak siapa yang datang bertandang. Sekuntum senyum terlukis lalu dia bingkas bangun, menyimpan nashkah al-Quran di atas almari dan berjalan laju menuju ke keretaku.

Ibu memelukku sesantunnya dan aku terasa kehangatan air mata ibu. Ternyata dia amat rindu kepada sekujur tubuhku lalu Ibu bertanya” Along dan Atam tidak pulang tahun ini? “

Naluriku tersentuh. Itulah ingatan ibu saban tahun kepada mereka dan adakah pertanyaan itu akan terlontar menuju kepadaku jika Along dan Atam pulang dahulu. Cemburu membenih di hatiku membuahkan keinsafan. Aku bukan anak yang berjaya seperti along dan atam. Aku cuma peniaga kecil bekerja sendiri.

‘Mereka akan menyusul nanti,” kataku terkilan bernada sebak dan sebenarnya aku tiada pilihan lain selain untuk menghiburkan hati ibu. Sengaja kukata begitu walaupun Along dan Atam tidak menyambut panggilan telefonku sejak minggu lalu.

Ibu angguk kepala.
" Ibu seronok jika mereka pulang beraya bersama-sama. Ibu bukan nak duit puit mereka. Ibu hendakkan keikhlasan daripada belahan hati yang luhur... .Seronok menengok anak-anak mereka yang kian membesar melompat berlari, seronok mendengar kepetahan anak mereka bercerita dan masakan Maria isteri Along sangat menguja selera ibu.”

Aku tunduk lesu. Ada air jernih mengalir dari kolam mataku. Apakah isteriku Melisa tidak seenak masakannya pada lidah selera ibu?
Namun aku akur. Ibu memang begitu. Bahasanya tidak pernah berlapik selembut salju terhadap anak-anaknya. Dia menutur kata dari keikhlasan hatinya.
“ Eh naiklah ke rumah. Apa pasal tercegat dekat kereta ni,” pelawa ibu sambil menarik tangan Sarina, anak keduaku.
Terima kasih ibu kerana masih menghargai anak-anakku

Isnin, 13 Mei 2013



Melihat ke Dalam

 
Jarang ingin melihat ke dalam kerana di dalam itu penuh rahasia yang sukar diungkap dengan kata kecuali bagi mereka yang kasyaf melihat sesuatu daripada makrifah yang tertonjol daripada kebersihan jiwa. Ada yang sudah mendakwa di dalam itu sudah tersepuh segala kesucian dan jiwa sudah melangkah melepasi insanul kamil, sudah berbaris menuju jannnah, sudah mememeluk wahdatul wujud dan selapis sedikit lagi merangkak ke wahdatul syuhud. 

Aduhai jiwa yang masih berpaut kepada dunia, termengah-mengah seperti seekor anjing yang ingin memamah tulang yang sudah tertanggal dagingnya.
SEORANG IBU BUKAN SEBARANG IBU









 



Dia menjadi wanita istimewa sang putera dan sang puteri. maka bagaimana hendak dirungkai kasih seorang putera kepada si ibu sedangkan dengan syair si ibu membaluti sekelian sejarah kehidupannya. Dan Sang Puteri tidak mampu menggerakkan langkahnya meninggalkan si ibu lantaran cucuran kasih sang ibu itu mengalir dalam darah dan nafasnya.

Damailah engkau Sang Ibu dalam pelukan kasih Allah, dukungan kasih putera dan puteri menebar doa mengitari hdup yang masih ada. Demikian si anak menghayati satu ajaran daripada beberapa ajaran yang diterima di dunia ini.

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Sural al-Israa’:24)
Ramai yang menegur. Ramai yang ditegur. Sahabat yang menegur mengekang lena mengulit lalu tegak berdiri di atas garis kesedaran lalu beristighfar memohon keampunan. Teguran itu menyentuh jauh ke lurah rasa empunyai hati yang masih bersinar cahaya (kebenaran).