Sabtu, 31 Mac 2018

SUSUNLAH KATA-KATAMU SEINDAHNYA


Aku berbangga denganmu ketika kau menyusun kata-katamu seindahnya. Terasa ketika itu, kau telah menepati hendak Rasulullah s.a.w. dalam urusan pergaulanmu. “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah berkata yang baik atau diam.” [HR.Bukhari dan Muslim].


Kata-kata yang indah melambangkan jiwa yang bersih dan ceria. Lontarkanlah kata-kata itu selalu kerana ketika kau menggunakan keindahan bahasamu, kau dinilai sebagai orang yang yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaramu. Kau juga tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada rakan bicaramu.



Tidak ramai orang yang mampu menyusun kata-kata sebelum turun dari rumahnya.. Selalunya kata-kata itu dituturkan secara spontan sahaja kecuali bagi mereka yang hendak pergi bertemuduga atau berbincang dengan ketua pejabat, berkomunikasi dengan pemimpin atau Sultan. Maka menuturkan kata-kata dalam majlis sebegini adalah sesuatu yang diada-adakan untuk mengangkat diri sendiri atau untuk membangga-bangga kepandaian sendiri sedangkan untuk menzahirkan kata-kata yang baik itu memerlukan peribadi yang dan luhur.


Ahli bidalan mengukir kata berhubung pertuturan yang indah dan baik ini:


“ Apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka”.


“ Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih”.


“ Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”.


“ Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang”.


“ Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami



Tiada ulasan:

Catat Ulasan