Rabu, 28 Mac 2018

DUHAI DUNIA YANG MENGASYIKKAN




Sabda Rasulullah s.a.w. ,”  Demi  Allah, dunia ini dibandingkan akhirat  ibarat  seorang yang mencelupkan  jarinya ke laut; air yang tersisa di jarinya ketika diangkat, itulah nilai dunia.” (HR Muslim)

            Duhai diri.   Mengertilah selalu bahawa apa yang kaukejar selama ini adalah nilai dunia yang sangat kecil dan rendah.  Apakah hidup pada hari mendatang adalah satu perjuangan  yang hanya hendak mengejar sesuatu yang rendah itu?  

            Sang guru selalu merujuk akan kata  Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin.  Akan manusia  biasa itu senantiasa  mengejar pemuasan untuk memperoleh  enam perkara   dalam kehidupan di dunia iaitu  makanan , minuman, syahwat,  pakaian, wangi-wangian dan kenderaan.

Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia  berlumba-lumba mencarinya sedari pagi hingga ke malam.  Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia sanggup menghabiskan seharian usaha untuk memperolehnya. Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia sanggup bermusuhan hatta berbunuhan demi memperolehnya.  Ya, hanya untuk enam perkara ini, manusia sering alpa untuk tunduk kepada Pencipta.

Bernilai amatkan enam perkara ini sehingga sedemikian tekad manusia untuk memperolehnya?    Hakikat daripada  setiap sesuatu itu  bila direnung  ke dalam makrifat mampu  menghurai persoalan  yang serumit itu.

Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim.
Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim
Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim

Bukankah makanan yang paling bagus adalah madu lebah, Berebut-rebut manusia menternak lebah.  Berebut-rebut manusia menjual madunya.  Berebut-rebut manusia membeli dan menikmatinya.   Namun hakikatnya madu itu terjadi daripada air liur lebah. Manusia mengidamnya sedangkan yang diidamkannya itu seumpama air yang tersisa di jarinya ketika diangkat  daripada satu celupan dan  itulah nilai dunia.

            Ya Robbi Ya Karim.  Ampunilah diri ini kerana mencari sesuatu yang bernilai rendah di sisi-Mu.

            Yang dikejar manusia adalah minuman yang terbaik.  Sedangkan minuman terbaik itu  adalah air kosong yang sebenarnya tiada sedikitpun keistimewaan padanya. Semua orang boleh meminumnya tidak kira orang islam mahupun orang kafir. 

            Manusia jadi gila dan lupa diri dalam melayani syahwatnya.  Manusia sanggup menjadi penakluk demi memenuhi syahwat.  Manusia sanggup melanggar batasan adat dan hukum demi syahwat.  Manusia sanggup mengumpul dosa zina sebesar gunungan demi syahwat.  Adakah sudah gila manusia yang mengejar syahwat, yang dalam kepalanya tiada lain melainkan syahwat dan  yang dalam lakunya menjurus kepada syahwat sedangkan  kenikmatan itu  datangnya   dari tempat keluarnya kotoran dan najis.

            Manusia menjadi  lalai dan alpa, menghabiskan seluruh masa memilih pakaian yang indah-indah.  Dari satu gedung  ke satu gedung manusia berkelana mencari citra rasa.  Takut dia dikata tiada sihat akal memakai jenama kain yang tidak mengikut arus zaman. Sedangkan kain yang membuat pakaian yang paling bagus pula ialah kain  yang dibuat  daripada   sutera, sedangkan asalnya benang sutera itu adalah daripada air liur sejenis ulat.

            Duhai dunia yang menggoda.  Jauhilah dariku  dan hantarlah aku kepada Rabb  yang kucintai.

            Wangian yang paling harum di dunia pula adalah kasturi, sedangkan kasturi itu datangnya daripada  peluh dan darah (najis) binatang iaitu kijang. Manakala kenderaan yang manusia sering digunakan itulah adalah mesin  banyak meragut nyawa.

            Duhai dunia yang mengasyikkan.  Tambatkanlah sorakan dan ajakanmu cuma setakat di hujung mataku, di penjuru telingaku, di tepi jasad kasar  yang pasti akan hancur binasa ini. Berilah piala hati ini memenuhi firman Allah:

" Dan tiadalah kehidupan dunia ini,
selain dari main-main dan senda gurau belaka.
Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik
bagi orang-orang yang bertakwa.
Maka tidakkah kamu memahaminya?"
(Surah Al-An'Am ayat 32)

Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi
Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi
Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan