Khamis, 13 Ogos 2015

DIRI YANG TERBIAR


Jangan sekali-kali lupa di hujung kelelahanmu menempuh cabaran dunia ini, AMBILLAH SEDIKIT WAKTU UNTUK MEMBINA DIRIMU KEMBALI.

Kau mesti berfikir begitu. Jangan kaurisau dengan penderitaan kerana ia bukan dosa. Jangan kausedih dengan kesusahan kerana ia bukan kesakitan. Risaulah dengan dosa. Bersedihlah dengan ibadahmu yang tidak sempurna.

Ujian yang saudaraku pasti tempuh dalam proses pembaikan diri ini sebenarnya telah mengangkat saudaraku ke satu tingkat yang lebih baik. Lihatlah sekitar saudaraku. Jika saudaraku seorang wanita dan kini mula mengenakan tudung labuh sebagai rutin harianmu, bukan sahaja saudaraku akan mendapat ramai rakan yang sependirian sama, malah rakan-rakanmu yang tidak mengenakan tudung labuh akan berasa senang berdampingan denganmu. Jika saudaraku seorang lelaki dan mula melaungkan azan di corong masjid, bukan sahaja kau berasa dirimu mampu melaksanakan tugas suci itu, tetapi semua ahli kariah berasa lapang dada kerana mereka sudah mendapat satu mutiara baru dalam penyebaran syiar agama Allah ini. Dengan perubahan diri ini, saudaraku sebenarnya menjadi lebih hebat dan berwibawa.

Dalam meniti sejarah kegemilangan Islam, nyatakan kegemilangan Islam itu berdiri di atas peranan umatnya yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah s.a.w. Mereka mengerjakan perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar. Apabila Saidina Umar mengutuskan tentera Islam untuk menghadapi musuh-musuh Allah, beliau berpesan kepada Saad bin Abi Waqqas, "Wahai Saad! Aku berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu diberi kemenangan oleh Allah kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat seperti musuh, sedang bilangan kamu tidak sama seperti mereka, kamu akan dikalahkan oleh musuh. Ketika itu kekuatan zahiriah yang menentukan kemenangan. Hendaklah kamu yakin bahawa kemenangan ini terletak di atas pertolongan Allah"
Ingatlah, tidak ada kejayaan tanpa kesusahan. Tidak ada kemenangan tanpa perjuangan. Kesusahan itulah yang akan menjadi kenang-kenangan serta pedoman untuk mentadbir diri tatkala beroleh kesenangan nanti.

Isnin, 10 Ogos 2015

MASA UNTUK MENYELAMATKAN ROHINGYA


Foto Hasanuddin Md Isa.Rohingya (Rohinga/Rowengyah) bermaksud “yang dikasihi” atau “yang penyayang”. Perkataan ini berkaitan rapat dengan keberanian yakni keberanian perwira-perwira Islam (India-Muslim, Afghan dan Turki) yang berkhidmat dengan raja-raja Arakan pada pertengahan abad ke-15 hingga abad ke-18.

Bahasa yang digunakan adalah campuran bahasa Arab, Benggala, Urdu dan Arakan. Namun hari ini bahasa Arakan Burma merupakan bahasa utama yang digunakan oleh masyarakat.
Asal usul masyarakat Rohingya merupakan kacukan daripada berbagai-bagai bangsa seperti Arab, Parsi, kelompok India (seperti Afghanistan) dan orang Benggala dan Chittagong.

Seawal abad ke-8 Masihi, Arakan telah didatangi oleh peniaga dan pedagang Arab yang menyebar agama Islam. Terdapat perkahwinan antara mereka yang menetap di Arakan dengan penduduk tempatan. Lama kelamaan ini menyebabkan kesukaran membezakan Rohingya “lama” dengan yang “baru”.
Pada tahun 1942, sukar dianggap sebagai orang Rohingya asal kerana mereka tidak mempunyai ciri-ciri budaya yang tepat. Kelompok masyarakat Rohingya diasimilasikan dari segi bahasa, pakaian dan juga adat resam. Mereka menggunakan bahasa Burman dan menggunakan nama Myanmar. Namun mereka tetap beragama Islam walaupun telah bercampur aduk dengan kepercayaan tempatan.

Masalah etnik di Myanmar dikatakan bermula pada tahun 1920-an dan 1930-an iaitu pada pada zaman kemelesetan ekonomi yang melanda Myanmar. Orang Rohingya menguasai bidang peruncitan dan perdagangan dan merupakan sumbangan terbesar dalam ekonomi Mymar.

Kebanjiran pelarian Rohingya ke Malaysia bermula apabila berlakunya pertumpahan darah pada tahun 2012 antara penduduk Muslim Rohingya dengan penduduk tempatan beragama Buddha di Wilayah Rakhine.

Sehingga tahun 2014, lebih 30,000 warga Rohingya yang didaftarkan di Malaysia yang mendapat status pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). Namun sebenarnya Malaysia kini menghadapi kebanjiran pelarian asing yang jumlahnya mencapai 150,000 orang, majoriti daripadanya adalah pelarian Rohingya dari Myanmar. Menurut sumber UNHCR lagi, ada juga lebih 20,000 pelarian Rohingya di Malaysia yang belum didaftarkan. Dengan status mereka ketiadaan warganegara, agak sukar untuk mereka memperoleh bantuan pendidikan dan kesihatan yang sempurna. 

Kebanyakan pelarian Rohingya ini tidak dihantar ke negara ketiga kerana mereka ini beragama Islam. Namun kehadiran mereka di Malaysia terpaksa ditanggung oleh kerajaan Malaysia.
 

DEMIKIAN CINTA ITU MEKAR DI DALAM JIWA

  Ibnu Qayyim rahimahullâh pernah berkata dalam kitab al-Jawâb al-Kâfî li Man Sa’ala ‘an ad-Dawâ’ asy-Syâfî :

“Kasih sayang adalah penyebab hati dan ruh menjadi hidup terpelihara. Hati tidak akan berasa tenteram, nikmat, beruntung, dan berasa hidup apabila tanpa cinta. Seandainya hati tanpa cinta, sakitnya lebih terasa daripada mata terasa sakit ketika tidak boleh lagi melihat cahaya, telinga ketika tidak boleh lagi mendengar, hidung ketika tidak boleh lagi mencium, lisan ketika tidak mampu lagi berbicara. Bahkan, hati pun pasti menjadi rusak apabila hampa daripada kasih sayang yang sudah merupakan fitrah dalam jiwa manusia. Cinta adalah sebuah karunia yang diberikan Sang Pencipta. Oleh karena itu, rusaknya lebih parah daripada kerusakan tubuh manusia yang diisi dengan ruh, dan ini tidak mungkin boleh dikatagorikan menjadi sesuatu yang pasti kecuali orang yang memiliki jiwa yang selalu hidup.”
 

BERADA DI JALAN KEMULIAAN

Foto Hasanuddin Md Isa. Bukan mudah untuk menjadi orang yang berilmu saudaraku. Lantaran ilmu itu bersifat halus (SIRR) ,maka tidak ada sesiapa yang tahu sebanyak mana ilmu yang ada dalam dirinya. Namun jangan kerana tidak tahu sebanyak mana ilmu yang ada, maka usaha-usaha mencari ilmu terhenti setakat itu sahaja.

Rasulullah s.a.w bersabda , ”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( al-Bazzar)

Demikianlah saudaraku, letakkan dirimu sebaigai penuntut ilmu. Baik ilmu yang dituntut itu di universiti , kolej ,sekolah dan pondok pengajian ilmu atau di masjid dan surau atau melalui kiriman ilmu oleh seorang rakanmu melalui media cetak atau elektronik. Selagi ilmu yang kaudapati, kau masih menjadi penuntut ilmu .

Dalam menempatkan diri di kalangan orang yang menuntut ilmu, yakinlah bahawa Allah mengasihimu . Dengan mendapat kasih sayang Allah, kehidupanmu senantiasa dalam ketenangan dan urusan kehidupanmu akan dipermudahkan Allah penyelesaiannya.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."( Abu ad-Darda' r.a). 

Malah kedudukanmu di sisi Allah pada ketika kau memasuki gerbang ilmu diangkat Allah setaraf orang-orang yang berjuang di jalan Allah. Demikian pemahamanku daripada sebuah hadis Rasulullah s.a.w.,” "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".(HR At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

DOSA ITU PENYIKSA KEHIDUPAN

 Jumaat ini sahabat, marilah kita merenung jauh ke lubuk hati. Sentuhlah akan fikiran itu selembutnya. Betapa masa-masa yang sudah dilalui dibazirkan di medan kedosaan. Alangkah ruginya kehidupan dalam ayunan kelalaian daripada mengingati Allah. Apakah kesudahan hidup akan begitu sahaja atau bermula hari ini kita menghijrah diri ke jalan kebaikan.

Setiap hari berbuat dosa, timbun menimbun tanpa taubat. Segala larangan Allah dilanggar dan segala perintah diengkari. Jadilah hidup sekadar hidup. Alangkah ruginya menempuh penghidupan sebegitu. Tidak sedihkan hidup diselubung kegelisahan, hasad dengki, marah yang tiada kesudahan. Walaupun rezeki diperoleh banyak tetapi hati tidak pernah berasa berkecukupan kerana rezeki yang diperoleh tidak diberkat. Ini merupakan satu penyiksaan hati dari Allah terhadap dosa-dosa yang dilakukan.

Berhentilah berbuat kedosaan. Berhentilah setakat itu. Kedosaan itu tidak menerbitkan kebahagian di hati dan kehidupan. Kembalilah kepada ajaran Islam yang suci, yang menyelamatkan kehidupan dalam kebahagiaan dan keampunan Allah.

Foto Hasanuddin Md Isa. Ibnul Qayyim al-Jauziah telah menyatakan dalam kitabnya Al-Fawaid . Terdapat banyak kesan buruk dosa terhadap sipelakunya. Antara yang disebutkan ialah:

1. Terhalang daripada mendapat taufiq dan petunjuk Allah


2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran


3. Kebenaran akan terlindung daripadanya


4. Hati jadi merana dan rosak


5. Darjatnya menjadi rendah di kalangan manusia


6. Hidupnya akan sia-sia


7.Semua makhluk Allah akan membencinya


8. Jauh dari Allah


9. Doanya ditolak Allah


10. Hati akan menjadi keras


11. Umur dan rezekinya tidak berkat


12. Terhalang dari mendapat ilmu


13. kehidupannya dalam keadaan hina


14. Dibuang perasaan gerun musuh terhadapnya


15. Tiada ketenangan dalam hidup


16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.


17. Kehidupannya dalam dukacita dan kebimbangan


18. Disempitkan rezeki


19. fikirannya tidak aman


Marilah kita merenung kehidupan ini dengan penuh insaf, sahabat.

PERUBAH YANG HEBAT


Foto Hasanuddin Md Isa. Ramadan ini sahabat, mari merubah diri menjadi lebih baik daripada waktu-waktu lalu. Dalam melakukan perubahan diri ke arah kebaikan ,tinggalkan segala bisikan-bisikan yang tidak memberi guna. Ambillah al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Itulah pegangan terbaik untukmu sebagai seorang muslim. Tinggalkan pandangan-pandangan yang tidak selaras dengan pegangan hidup yang dipancarkan daripada al-Quran dan As-sunnah yang terpelihara. Allah memberi penegasan dalam al-Quran akan perihal musuh-musuh yang berbisik.

Belajarlah sahabat untuk menjadi seorang perubah yang hebat dalam diri anda. Dalam mempelajari sesuatu, Jika anda berasa belajar mengubah diri itu susah dan jika anda berasa kepala anda pening memikirkan langkah selanjutnya untuk membaiki diri anda dan jika anda beasa hampir putus-asa untuk melaksanakan perubahan diri itu ; maka janganlah bimbang. Orang yang cemerlang juga berasakan perkara yang sama. Berkeluh kesah,bimbang, ragu, hilang kekuatan diri, Susah membuat penyesuaian degan sekitaran, pening dan rasa mahu putus-asa itu adalah normal bagi makhluk Allah jenis manusia. Itu bukan bermaksud anda tersangat lemah. Apa yang akan membezakan anda dengan orang lain yang jauh cemerlang dalam mengubah diri kepada kebaikan ialah walaupun anda berasa berkeluh kesah,bimbang, ragu, hilang kekuatan diri, susah membuat penyesuaian dengan sekitaran, pening dan rasa mahu putus-asa; anda teruskan juga berusaha untuk melaksanakan perubahan diri. Anda sebenarnya hebat dan anda sebagai makhluk Allah memang dibekalkan potensi yang sangat hebat.

Memanglah banyak cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi apabila ingin mengubah diri ke arah kebaikan. Seseorang yang tidak pernah menjejak masjid akan terasa asing apabila melakukan untuk kali pertamanya. Seseorang wanita yang ingin menutup aurat akan mendapati dirinya dijeling dan dicela. Seorang yang tidak biasa berpidato lalu berpidato di suatu pentas akan berasa setiap kata-kata yang dilontarkan terasa tidak dipedulikan oleh khalayak pendengar. Tidak kurang juga akan nada perasaan ragu-ragu untuk terus kekal pada status perubahan diri setelah beberapa hari melaksanakan perubahan diri. Terasa akan ada yang membangkit perihal sejarah silam yang aib demi menggagalkan usaha mengubah penampilan diri itu.

Teruslah gagah untuk menjadi perubah diri di jalan kebaikan ini. Hindari perasaan keragu-raguan dalam dirimu kerana perasaan itu adalah pintu-pintu yang mudah dipengaruhi bisikan-bisikan Syaitan.


Firman Allah:

" Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
 

HADIAH WANG RAYA UNTUK ANAK-ANAK TERCINTA

·

Salam Ramadan, Sahabat. 

Sudah berada kita pada sepertiga Ramadan ini; Selain memantapkan ibadah sepertiga akhir Ramadan, nampak jelas setiap isi rumah sudah mula menyiapkan keluarga mereka untuk menyambut Aidilfitri. Anak-anak yang sekian hari sudah berlapar dahaga sudah dapat membayangkan keriangan dan kemeriahan berhari raya. Sudah dapat mereka bayangkan juadah yang enak, pakaian yang cantik dan pemberian wang raya untuk mereka. Itulah dunia kanak-kanak yang indah yang dirasai sekali seumur hidup manusia.

Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri itu, ada suara-suara yang mempertikaikan apa perlunya memberi duit raya kepada anak-anak. Ada yang memberi pandangan memberi duit raya itu daripada tradisi pemberian Ang Pow masyarakat Cina. Ada yang memberi pandangan lebih elok duit itu diberikan pada Ramadan ini kerana sangat berganda pahala sedekah jariah itu.

Islam tidak memberatkan seseorang dalam soal bersedekah jariah. Tidak menentukan pula waktu dan tempat khusus. Mereka yang berkeupayaan, bersedekah jariahlah kerana Allah, laksanakan hajat berdedekah jariah itu. Demikian juga dalam hal memberi duit raya untuk anak-anak itu juga bukan suatu kewajipan. Namun begitu , Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. 

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, "Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Memberi duit raya kepada anak-anak itu termasuk dalam sedekah dan hadiah. Alangkah gumbiranya mereka ketika menerima sampul wang walaupun di dalamnya tidak seberapa nilai mata wangnya. Pemberian ini memberi kesan mendalam ke jiwa mereka. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, "Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)

Demikian hari raya yang diatur dengan ziarah dan persahabatan itu sangat mengukuh ukhwah sesama ummah. Bertemu, bersalam-salaman dan bertanya khabarlah, Itu sesuatu yang sangat menyenangkan. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud, "Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan." (Hadis riwayat Malik)

Ajarilah anak-anak bersyukur setiap kali menerima duit raya dari jiran-jiran dan saudara terdekat. Penuhilah pesanan Rasulullah SAW dalam soal ini sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksudnya: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (Hadis riwayat Muslim)

KEMAAFAN DIPINTA KEMAAFAN DIHULUR


Foto Hasanuddin Md Isa.Salam Ramadan buat sahabat.

Jumaat ini marilah kita membuka pintu hati untuk memberi kemaafan dan memohon kemaafan. Dalam kehidupan yang tidak sunyi daripada melakukan apa jua kesilapan ini, permohonan kemaafan itu dipohon dengan penuh kerendahan diri dan pemberian kemaafan dibuat dengan penuh ketulusan hati.

Keengganan memberi maaf dan keengganan memohon maaf itu kerana amarah yang membakar diri, lalu melontar diri ke satu sudut keegoaan yang kukuh. Sahabat, amarah itu bukan bekalan kemuliaan. Buangkanlah segala amarah itu dan rendahkan sayapmu untuk memohon kemaafan dan memberi kemaafan. 

Marilah menerima ajakan Al-Quran untuk menjadi pemaaf yang hebat. “…Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran: 134) “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.” (Asy-Syuura: 43) Kaum beriman adalah orang-orang yang bersifat memaafkan, pengasih dan berlapang dada, sebagaimana dinyatakan dalam Al Qur’an : “(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (QS. Ali ‘Imraan [3]:134) ” …..dan hendaklah mereka mema’afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ” (QS. An Nuur [24] ; 22) ” …….karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (QS Ali ‘Imran [3] ; 159) ” Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. .” (QS. Al A’raaf [7] ; 199)

Memutuskan hubungan akan menghalang pengampunan dosa dan rahmat Allah seperti diterangkan dalam hadis riwayat Muslim (yang bermaksud): “Pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis, kemudian Allah akan memberi keampunan kepada setiap orang yang tidak menyekutukan Allah sedikit pun kecuali seorang lelaki yang ada berpisah antara dia dan saudaranya. Maka Allah berkata: ‘Tangguhkanlah kedua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah keduanya sehingga mereka berdamai’.”

Dalam satu hadis yang lain dari Abu Hurairah ra. bahwasanya ada seorang pemuda bertanya; Ya Rasulullah, aku punya banyak kerabat dan aku berusaha menyambung (silaturahim) mereka, namun mereka memutuskan (silaturahim) kepadaku. Dan aku tetap berusaha baik kepada mereka, namun mereka membalasnya dengan keburukan terhadap aku. Dan aku selalu sabar menghadapi mereka, sedangkan mereka terus menyakitiku. Beliau bersabda: “Jika keadaanmu seperti apa yang kamu katakan, maka itu seolah-olah kamu memberikan abu panas kepada mereka. Dan kamu akan tetap ditolong Allah selama kamu tetap berbuat demikian.” (HR. Muslim)

Saya memohon maaf atas segala salah silap kepada semua sahabat. Demikian kemaafan itu diberikan untuk sahabat semua. Kita bermula di sini dengan bersama-sama berdoa ke hadrat Allah semoga Allah memberikan pengampunan dan rahmat-Nya dalam kehidupan kita seterusnya. Amin.

DIA SAHABATKU DUNIA AKHIRAT

 
Dalam kehidupanmu, pilihlah sahabat yang taat kepada perintah Allah. Jelas dalam kehidupan sehariannya melaksanakan seluruh syariat fardu atas dirinya dan membanyakkan amalan-amalan sunat yang dianjurkan dalam agama yang mulia ini. Pilihlah dengan teliti dan usah ragu-ragu. Dalam kehidupan ini , hindarkan dirimu daripada bersahabat dengan orang yang suka mencela kebesaran Allah, menghina Rasulullah s.a.w., meremehkan perjuangan para sahabat Rasulullah s.a.w., para tabi’en, tabi-tabi’en dan ulama yang berjuang menegakkan kesucian Islam. Kelak di dunia ini hidupmu terpandu ke jalan kebenaran dan di akhirat nanti, Allah memilihmu menghuni Syurga-Nya.

Tabiat manusia amat mudah terpengaruh dengan kebiasaan, akhlak, dan perilaku teman terdekatnya. Karena inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Seseorang itu menurut agama teman dekat / sahabatnya, maka hendaklah salah seorang dari kalian melihat dengan siapa ia bersahabat .” (HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi. Dishahihkan Asy-Syaikh Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 927)’ 


Imam Al-Ghazali dalam karyanya ‘Bidayatul Hidayah ‘ memberi pandangan akan sifat seorang sahabat yang membawa kepada kebaikan.

1. Jika kau berbuat baik kepadanya, maka ia juga akan melindungimu;

2. Jika engkau merapatkan ikatan persahabatan dengannya, maka ia akan membalas balik persahabatanmu itu;

3. Jika engkau memerlukan pertolongn daripadanya, maka ia akan berupaya membantu sesuai dengan kemampuannya;

4. Jika engkau menawarkan berbuat baik kepadanya, maka ia akan menyambut dengan baik;

5. Jika ia memproleh suatu kebaikan atau bantuan daripadamu, maka ia akan menghargai kebaikan itu;

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripada dirimu, maka akan berupaya dia menutupinya;

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, maka ia akan mengusahakannya dengan sungguh-sungguh;

8. Jika engkau berdiam diri (karena malu untuk meminta), maka ia akan menanyakan kesulitan yang kamu hadapi;

9. Jika bencana datang menimpa dirimu, maka ia akan berbuat sesuatu untuk meringankan kesusahanmu itu;

10. Jika engkau berkata benar kepadanya, niscaya ia akan membenarkanmu;

11. Jika engkau merencanakan sesuatu kebaikan, maka dengan senang hati ia akan membantu rencana itu;

12. Jika kamu berdua sedang berbeda pendapat atau berselisih paham, niscaya ia akan lebih senang mengalah untuk menjaga kearaban bersahabat

Selasa, 17 Mac 2015

BIODATA TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN





Al Mursyidul Am PAS .

Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan Komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din.

Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.
Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS selaku Timbalan Mursyidul Am
• Baru dilantik sbg Mursyidul Am PAS

Pilihan raya

Dalam pilihan raya umum Malaysia 2004 , Ustaz Haron Din yang mewakili Parti Islam SeMalaysia mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Pencabarnya , Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasional mendapat undi: 17,367 . Syed Razlan telah diisytiharkan menang pilihan raya tahun 2004 . Majoriti-diperolehi : 3,243 , Jumlah Undi : 32,024, Undi Rosak : 533 , % Mengundi : 84.23%

RUMAH PENA

 

Bertiuplah angin puitis.
Lenggok buluh bergesel pucuk melambai
harapan dan gumbira itu disusun
pada sejambak rindunya suara hati
sekelompok penyair
yang mampu membakar sebuah kota.

Rumah PENA anggun di situ cuma
lambang berteduhnya sejumlah fikir
menebar akal dan rasa
membelai satu tamadun yang ranum.