Jumaat, 30 Mac 2018

DOA-DOA BUAT SAHABAT



Berdoa untuk sahabatku. Berdoa kerana cinta dan kasih untuk melihat mereka berada di jalan Allah, membuat kebajikan dan taat kepada setiap titah perintah Allah. Demikian anjuran Rasulullah s.a.w., "Apabila seseorang berdoa untuk sahabat di luar pengetahuannya, maka malaikat berkata;demikian juga semoga Tuhan perkenankan untuk dirimu."

Allah menjawab doa tersebut:"Begitu juga lebih dahulu Aku perkenankan untuknya sebelum Kuperkenankan untuk kawannya."

Kehidupan diselimuti dosa ini menjadi hidup lalai. Dosa dibuat sekian saat sehingga tidak terbilang banyakknya. Terima kasih atas sekelian doa sahabat-sahabat merayu ampunan daripada Allah. Sebelum diampun dosa sahabat yang dipohon oleh seseorang, terlebih dahulu Allah s.w.t. ampunkan dosa orang meminta keampunan. Ada kalanya Allah s.w.t. mustajabkan doa untuk sahabat kita, lantaran berkat tolong-menolong saling berdoa untuk sahabatnya.

Sahabat-sahabat yang ikhlas terus menerus meminta keampunan dosa-dosa sahabatnya. Berkata Abu Dardak r.a.: "Bahawa aku berdoa dalam sujudku (solat sunat) untuk 70 sahabatku, dengan menyebut setiap nama sahabat karibku."

Berkata seorang solih bernama Muhammad bin Yusof Asfahani: "Di manakah kamu dapat bandingan kalau tidak dengan sahabat yang solih, kerana apabila kamu mati anak buahmu gembira lantaran akan mendapat pusaka dari harta tinggalanmu.

Tetapi sahabatmu yang salih apabila kamu mati, beliau akan keseorangan merindui padamu, runsing tentang dosa yang kamu lakukan dan akibatnya yang akan kamu terima di akhirat kelak."

Apabila seseorang mati lalu kebanyakan manusia bertanya: telah matikah si polan dan apakah pusaka yang ditinggalkan?

Tetapi para malaikat pula bertanya: apakah pahala atau dosa yang telah dikirim ke akhirat oleh si mati.

Begitulah bezanya antara ulasan manusia terhadap kematian seseorang, berbanding ulasan para malaikat tentang kematian seorang hamba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan