Ahad, 19 Februari 2012

Sejarah Awal Kampung Tersan, Raub - sebuah info



 

          Kampung Tersan terletak dalam daerah Raub.  Kampung ini antara kampung terawal diteroka. Orang yang mula mula membuka Kampung Tersan ialah seorang ulama Islam bernama Tok Mat Amin.

 

           Salasilah lengkap beliau ialah Tok Mat Amin bin Tok  Malek bin Tok Mohamad Salleh bin Tok Ngah Endik bin Tok Muhamad Ali Jaffar Sidek (Tok Deyong) bin Raja Muhamad (Baginda Demu – Tok Keramat Padang Asam, Perak) anak Seri Dewi binti Hang Tuah.

 

          Tok Mat Amin dan anak buahnya menyusur mudik Sg. Lipis dari Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Pahang. Berhenti disuatu tanah pamah sebelah kiri mudik yang penuh ditumbuhi oleh perdu perdu buluh aur, lalu membuka kampung halaman di situ. Terus tempat itu dinamakan Kampung Tanjung Aur. Ke daratan Sg. Lipis yang ditumbuhi buluh aur itu didapati pamah dan lembah, amat sesuai dijadikan sawah / paya padi. Lalu Tok Mat Amin mengajak anak buahnya menebas-nebang kawasan itu untuk dijadikan sawah/paya padi. Terdapat tanah masin yg di gelar jenud tempat binatang datang menjilat di situ. Tanah masin itu boleh menyuburkan semua jenis tanaman termasuk padi. Ke darat lagi terdapat dua alur air yang kemudiannya dinamakan Sg.Buluh dan Sg Ketiar, lalu kedua dua alur itu disatukan menjadi parit besar ala terusan terus ke Sg. Lipis. Terusan itulah yg membekalkan air ke sawah padi mereka. Sempena terusan itulah wujudnya sebuah lagi kampung bernama Kampung Tersan. Itulah kampung saya.

 

         Bagi menjaga kepentingan dan kebajikan kampung Tok Mat Amin dilantik sebagai Penghulu sekaligus menjadi Imam dan Pawang.   Beliau menjalankan tugas dan atanggungjawab  urusan keagamaan  setempat dengan persetujuan Bendahara Pahang. Apabila beliau  meninggal jenazahnya di semadikan di atas bukit Kampung Tersang lalu dinamakan Makam Keramat Bukit Tersan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan