Sabtu, 31 Mac 2018

SUSUNLAH KATA-KATAMU SEINDAHNYA


Aku berbangga denganmu ketika kau menyusun kata-katamu seindahnya. Terasa ketika itu, kau telah menepati hendak Rasulullah s.a.w. dalam urusan pergaulanmu. “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah berkata yang baik atau diam.” [HR.Bukhari dan Muslim].


Kata-kata yang indah melambangkan jiwa yang bersih dan ceria. Lontarkanlah kata-kata itu selalu kerana ketika kau menggunakan keindahan bahasamu, kau dinilai sebagai orang yang yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaramu. Kau juga tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada rakan bicaramu.



Tidak ramai orang yang mampu menyusun kata-kata sebelum turun dari rumahnya.. Selalunya kata-kata itu dituturkan secara spontan sahaja kecuali bagi mereka yang hendak pergi bertemuduga atau berbincang dengan ketua pejabat, berkomunikasi dengan pemimpin atau Sultan. Maka menuturkan kata-kata dalam majlis sebegini adalah sesuatu yang diada-adakan untuk mengangkat diri sendiri atau untuk membangga-bangga kepandaian sendiri sedangkan untuk menzahirkan kata-kata yang baik itu memerlukan peribadi yang dan luhur.


Ahli bidalan mengukir kata berhubung pertuturan yang indah dan baik ini:


“ Apa tanda orang yang mulia, apabila bercakap bermanis muka”.


“ Tanda orang berhati bersih, apabila bercakap mukanya jernih”.


“ Tanda orang berbudi bahasa, apabila bercakap tahukan rasa”.


“ Tanda orang berdada lapang, tahu menjaga perasaan orang”.


“ Tanda orang berbudi pekerti, perasaan orang dia fahami



Jumaat, 30 Mac 2018

DOA-DOA BUAT SAHABAT



Berdoa untuk sahabatku. Berdoa kerana cinta dan kasih untuk melihat mereka berada di jalan Allah, membuat kebajikan dan taat kepada setiap titah perintah Allah. Demikian anjuran Rasulullah s.a.w., "Apabila seseorang berdoa untuk sahabat di luar pengetahuannya, maka malaikat berkata;demikian juga semoga Tuhan perkenankan untuk dirimu."

Allah menjawab doa tersebut:"Begitu juga lebih dahulu Aku perkenankan untuknya sebelum Kuperkenankan untuk kawannya."

Kehidupan diselimuti dosa ini menjadi hidup lalai. Dosa dibuat sekian saat sehingga tidak terbilang banyakknya. Terima kasih atas sekelian doa sahabat-sahabat merayu ampunan daripada Allah. Sebelum diampun dosa sahabat yang dipohon oleh seseorang, terlebih dahulu Allah s.w.t. ampunkan dosa orang meminta keampunan. Ada kalanya Allah s.w.t. mustajabkan doa untuk sahabat kita, lantaran berkat tolong-menolong saling berdoa untuk sahabatnya.

Sahabat-sahabat yang ikhlas terus menerus meminta keampunan dosa-dosa sahabatnya. Berkata Abu Dardak r.a.: "Bahawa aku berdoa dalam sujudku (solat sunat) untuk 70 sahabatku, dengan menyebut setiap nama sahabat karibku."

Berkata seorang solih bernama Muhammad bin Yusof Asfahani: "Di manakah kamu dapat bandingan kalau tidak dengan sahabat yang solih, kerana apabila kamu mati anak buahmu gembira lantaran akan mendapat pusaka dari harta tinggalanmu.

Tetapi sahabatmu yang salih apabila kamu mati, beliau akan keseorangan merindui padamu, runsing tentang dosa yang kamu lakukan dan akibatnya yang akan kamu terima di akhirat kelak."

Apabila seseorang mati lalu kebanyakan manusia bertanya: telah matikah si polan dan apakah pusaka yang ditinggalkan?

Tetapi para malaikat pula bertanya: apakah pahala atau dosa yang telah dikirim ke akhirat oleh si mati.

Begitulah bezanya antara ulasan manusia terhadap kematian seseorang, berbanding ulasan para malaikat tentang kematian seorang hamba.

Rabu, 28 Mac 2018

DUHAI DUNIA YANG MENGASYIKKAN




Sabda Rasulullah s.a.w. ,”  Demi  Allah, dunia ini dibandingkan akhirat  ibarat  seorang yang mencelupkan  jarinya ke laut; air yang tersisa di jarinya ketika diangkat, itulah nilai dunia.” (HR Muslim)

            Duhai diri.   Mengertilah selalu bahawa apa yang kaukejar selama ini adalah nilai dunia yang sangat kecil dan rendah.  Apakah hidup pada hari mendatang adalah satu perjuangan  yang hanya hendak mengejar sesuatu yang rendah itu?  

            Sang guru selalu merujuk akan kata  Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin.  Akan manusia  biasa itu senantiasa  mengejar pemuasan untuk memperoleh  enam perkara   dalam kehidupan di dunia iaitu  makanan , minuman, syahwat,  pakaian, wangi-wangian dan kenderaan.

Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia  berlumba-lumba mencarinya sedari pagi hingga ke malam.  Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia sanggup menghabiskan seharian usaha untuk memperolehnya. Ya, hanya untuk enam perkara ini manusia sanggup bermusuhan hatta berbunuhan demi memperolehnya.  Ya, hanya untuk enam perkara ini, manusia sering alpa untuk tunduk kepada Pencipta.

Bernilai amatkan enam perkara ini sehingga sedemikian tekad manusia untuk memperolehnya?    Hakikat daripada  setiap sesuatu itu  bila direnung  ke dalam makrifat mampu  menghurai persoalan  yang serumit itu.

Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim.
Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim
Lahaulawala quwatailla billahil ‘aliyyil ‘azim

Bukankah makanan yang paling bagus adalah madu lebah, Berebut-rebut manusia menternak lebah.  Berebut-rebut manusia menjual madunya.  Berebut-rebut manusia membeli dan menikmatinya.   Namun hakikatnya madu itu terjadi daripada air liur lebah. Manusia mengidamnya sedangkan yang diidamkannya itu seumpama air yang tersisa di jarinya ketika diangkat  daripada satu celupan dan  itulah nilai dunia.

            Ya Robbi Ya Karim.  Ampunilah diri ini kerana mencari sesuatu yang bernilai rendah di sisi-Mu.

            Yang dikejar manusia adalah minuman yang terbaik.  Sedangkan minuman terbaik itu  adalah air kosong yang sebenarnya tiada sedikitpun keistimewaan padanya. Semua orang boleh meminumnya tidak kira orang islam mahupun orang kafir. 

            Manusia jadi gila dan lupa diri dalam melayani syahwatnya.  Manusia sanggup menjadi penakluk demi memenuhi syahwat.  Manusia sanggup melanggar batasan adat dan hukum demi syahwat.  Manusia sanggup mengumpul dosa zina sebesar gunungan demi syahwat.  Adakah sudah gila manusia yang mengejar syahwat, yang dalam kepalanya tiada lain melainkan syahwat dan  yang dalam lakunya menjurus kepada syahwat sedangkan  kenikmatan itu  datangnya   dari tempat keluarnya kotoran dan najis.

            Manusia menjadi  lalai dan alpa, menghabiskan seluruh masa memilih pakaian yang indah-indah.  Dari satu gedung  ke satu gedung manusia berkelana mencari citra rasa.  Takut dia dikata tiada sihat akal memakai jenama kain yang tidak mengikut arus zaman. Sedangkan kain yang membuat pakaian yang paling bagus pula ialah kain  yang dibuat  daripada   sutera, sedangkan asalnya benang sutera itu adalah daripada air liur sejenis ulat.

            Duhai dunia yang menggoda.  Jauhilah dariku  dan hantarlah aku kepada Rabb  yang kucintai.

            Wangian yang paling harum di dunia pula adalah kasturi, sedangkan kasturi itu datangnya daripada  peluh dan darah (najis) binatang iaitu kijang. Manakala kenderaan yang manusia sering digunakan itulah adalah mesin  banyak meragut nyawa.

            Duhai dunia yang mengasyikkan.  Tambatkanlah sorakan dan ajakanmu cuma setakat di hujung mataku, di penjuru telingaku, di tepi jasad kasar  yang pasti akan hancur binasa ini. Berilah piala hati ini memenuhi firman Allah:

" Dan tiadalah kehidupan dunia ini,
selain dari main-main dan senda gurau belaka.
Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik
bagi orang-orang yang bertakwa.
Maka tidakkah kamu memahaminya?"
(Surah Al-An'Am ayat 32)

Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi
Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi
Astaghfirullahal ‘azim wa ‘atubu ilahi

MENCARI KEREDHAAN-NYA



          Sahabat,
         
          Aku berbicara ini bukan kerana aku yang terbijak. Bukan. Ini Cuma bicara untuk sama-sama kita merenung segala kelemahan diri dan kembali mensyukuri segala pemberian-Nya.

          Sesungguhnya dalam hatimU, Sahabat  terdapat sebuah robekan yang tidak mungkin dapat dijahit kecuali dengan membawa hati itu  kepada Allah s.w.t. Di dalamnya juga ada sebuah keterasingan yang tak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah. Di situ juga ada seraut kesedihan yang tidak akan mampu diseka kecuali dengan kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah dan ketelusan berinteraksi dengan-Nya.

          Di dalam hatimu juga terdapat sebuah kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan 
berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju Allah. Di dalam hatimu, juga terdapat gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan, dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan dengan-Nya.

          Ketika orang lain bergantung pengharapan  pada dunia, gantunglah pengharapan dirimu, sahabatku hanya kepada Allah. Di situ engkau berdiri dan di situ engkau menadah tangan.  Hatimu  cuma tumpah menyayangi Penciptamu. Ketika orang lain berasa gumbira dengan dunia, jadikanlah dirimu gumbira kerana Allah. Ketika orang lain berasa bahagia dengan kekasih–kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dalam belaian kasih  Allah. Dan ketika orang lain pergi mengadap raja–raja dan para pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikanlah dirimu betul–betul mencintai Allah, menerima takdir-Nya dengan redha.
          Dalam kehidupan yang payah ini, renangi laut cabaran dengan ketabahan hatimu.  Hidup tidak senantiasa disapa ria.  Sesekali duka menimpa.  Kau dan aku adalah hamba yang melata yang dilepaskan ke dunia untuk meminta kasih belas Allah.  Seperti seorang fakir meminta dikasihani;  jangan pernah berputus asa untuk teguh menunggu gerbang, meskipun engkau terusir. Jangan pernah berhenti untuk memohon ampunan meskipun engkau tertolak. Begitu gerbang telah terbuka, segeralah masuk selayaknya seorang tamu yang tak diundang. Kemudian, tadahlah tanganmu di gerbang dan segeralah berkata, ‘Tolonglah, saya adalah orang miskin. bersedekahlah untuk saya….!
          Di sana sahabat ada pengajian di masjid .  Pergilah bersimpuh bersama-sama para jemaah.  Teruslah bersama orang–orang yang rajin membaca dan merenungi Al–Quran. Sungguh, kata–kata pengajaran daripada pengajian itu apabila tiba di dalam hati berubah menjadi nyawa, sehingga hati pun menjadi hidup,  wajah menjadi ceria dan pergerakanmu cekas pantas menguruskan kehidupan.

          Demi Allah, sahabat.  Katakan dengan jujur, bilakah kali terakhir kamu berasa khusyu’ dalam solatmu mengadap Allah?  Bilakah terakhir kali kamu bersujud memohon kepada Allah agar kemanisan rasa khusyu’ ini tidak pernah akan berakhir?


Ya Allah.
Kami merintih merayu pada-Mu.
Dengarilah rintihan hati kami.
kami lemah ya Allah, maka kuatkanlah kami dalam redha-Mu.
kami hina ya Allah, muliakanlah kami di sisi-Mu..
kami miskin ya Allah, kayakanlah kami dalam redha-Mu.




ALAM SEGAR MEKAR

Tika langsir alam disingkap, damai pandangan menabiri pelipis mata.  Bumi menghijau menyemarak gumbira lalu kaki bertatih melangkah dan hidupan napas ditarik panjang.  Alam segar mekar menghidupkan jiwa yang kian kelumpuhan sepanjang melewati malam.