Isnin, 10 Ogos 2015

HADIAH WANG RAYA UNTUK ANAK-ANAK TERCINTA

·

Salam Ramadan, Sahabat. 

Sudah berada kita pada sepertiga Ramadan ini; Selain memantapkan ibadah sepertiga akhir Ramadan, nampak jelas setiap isi rumah sudah mula menyiapkan keluarga mereka untuk menyambut Aidilfitri. Anak-anak yang sekian hari sudah berlapar dahaga sudah dapat membayangkan keriangan dan kemeriahan berhari raya. Sudah dapat mereka bayangkan juadah yang enak, pakaian yang cantik dan pemberian wang raya untuk mereka. Itulah dunia kanak-kanak yang indah yang dirasai sekali seumur hidup manusia.

Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri itu, ada suara-suara yang mempertikaikan apa perlunya memberi duit raya kepada anak-anak. Ada yang memberi pandangan memberi duit raya itu daripada tradisi pemberian Ang Pow masyarakat Cina. Ada yang memberi pandangan lebih elok duit itu diberikan pada Ramadan ini kerana sangat berganda pahala sedekah jariah itu.

Islam tidak memberatkan seseorang dalam soal bersedekah jariah. Tidak menentukan pula waktu dan tempat khusus. Mereka yang berkeupayaan, bersedekah jariahlah kerana Allah, laksanakan hajat berdedekah jariah itu. Demikian juga dalam hal memberi duit raya untuk anak-anak itu juga bukan suatu kewajipan. Namun begitu , Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan. 

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, "Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Memberi duit raya kepada anak-anak itu termasuk dalam sedekah dan hadiah. Alangkah gumbiranya mereka ketika menerima sampul wang walaupun di dalamnya tidak seberapa nilai mata wangnya. Pemberian ini memberi kesan mendalam ke jiwa mereka. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, "Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)

Demikian hari raya yang diatur dengan ziarah dan persahabatan itu sangat mengukuh ukhwah sesama ummah. Bertemu, bersalam-salaman dan bertanya khabarlah, Itu sesuatu yang sangat menyenangkan. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud, "Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan." (Hadis riwayat Malik)

Ajarilah anak-anak bersyukur setiap kali menerima duit raya dari jiran-jiran dan saudara terdekat. Penuhilah pesanan Rasulullah SAW dalam soal ini sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksudnya: "Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing." (Hadis riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan