Isnin, 10 Ogos 2015

BERADA DI JALAN KEMULIAAN

Foto Hasanuddin Md Isa. Bukan mudah untuk menjadi orang yang berilmu saudaraku. Lantaran ilmu itu bersifat halus (SIRR) ,maka tidak ada sesiapa yang tahu sebanyak mana ilmu yang ada dalam dirinya. Namun jangan kerana tidak tahu sebanyak mana ilmu yang ada, maka usaha-usaha mencari ilmu terhenti setakat itu sahaja.

Rasulullah s.a.w bersabda , ”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( al-Bazzar)

Demikianlah saudaraku, letakkan dirimu sebaigai penuntut ilmu. Baik ilmu yang dituntut itu di universiti , kolej ,sekolah dan pondok pengajian ilmu atau di masjid dan surau atau melalui kiriman ilmu oleh seorang rakanmu melalui media cetak atau elektronik. Selagi ilmu yang kaudapati, kau masih menjadi penuntut ilmu .

Dalam menempatkan diri di kalangan orang yang menuntut ilmu, yakinlah bahawa Allah mengasihimu . Dengan mendapat kasih sayang Allah, kehidupanmu senantiasa dalam ketenangan dan urusan kehidupanmu akan dipermudahkan Allah penyelesaiannya.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."( Abu ad-Darda' r.a). 

Malah kedudukanmu di sisi Allah pada ketika kau memasuki gerbang ilmu diangkat Allah setaraf orang-orang yang berjuang di jalan Allah. Demikian pemahamanku daripada sebuah hadis Rasulullah s.a.w.,” "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".(HR At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan