Isnin, 22 Julai 2013

PULANG KE PANGKUANMU

Cuba kubayangkan keadaan ibu setibaku ke rumah nanti. Tentu ibu sedang menunggu sambil mengayam ketupat daun palas atau sedang membakar lemang atau sedang merendang daging di dapur dan kulihat wajahnya gembira menyambut kepulangan anak cucunya.

“ Balik kampung,” bisik hatiku girang. Hari raya ini ingin kupersembah kepada ibu sebuah kasih yang tiada sempadan. Lalu kutelefon ibu. Ibu menjawab spontan.

Ketibaanku bersama-sama isteri dan anak-anak sesarat kereta tepat waktunya dan tidak lupa ole-ole biskut dan kuih Raya kurangkum bersama-sama.

Ketika keretaku berhenti di halaman rumah, Kulihat ibu menekuni pembacaan al-Quran di beranda dan ketika anak-anakku keluar dari kereta, dia menjengah muka. Ingin pastikan anak siapa yang datang bertandang. Sekuntum senyum terlukis lalu dia bingkas bangun, menyimpan nashkah al-Quran di atas almari dan berjalan laju menuju ke keretaku.

Ibu memelukku sesantunnya dan aku terasa kehangatan air mata ibu. Ternyata dia amat rindu kepada sekujur tubuhku lalu Ibu bertanya” Along dan Atam tidak pulang tahun ini? “

Naluriku tersentuh. Itulah ingatan ibu saban tahun kepada mereka dan adakah pertanyaan itu akan terlontar menuju kepadaku jika Along dan Atam pulang dahulu. Cemburu membenih di hatiku membuahkan keinsafan. Aku bukan anak yang berjaya seperti along dan atam. Aku cuma peniaga kecil bekerja sendiri.

‘Mereka akan menyusul nanti,” kataku terkilan bernada sebak dan sebenarnya aku tiada pilihan lain selain untuk menghiburkan hati ibu. Sengaja kukata begitu walaupun Along dan Atam tidak menyambut panggilan telefonku sejak minggu lalu.

Ibu angguk kepala.
" Ibu seronok jika mereka pulang beraya bersama-sama. Ibu bukan nak duit puit mereka. Ibu hendakkan keikhlasan daripada belahan hati yang luhur... .Seronok menengok anak-anak mereka yang kian membesar melompat berlari, seronok mendengar kepetahan anak mereka bercerita dan masakan Maria isteri Along sangat menguja selera ibu.”

Aku tunduk lesu. Ada air jernih mengalir dari kolam mataku. Apakah isteriku Melisa tidak seenak masakannya pada lidah selera ibu?
Namun aku akur. Ibu memang begitu. Bahasanya tidak pernah berlapik selembut salju terhadap anak-anaknya. Dia menutur kata dari keikhlasan hatinya.
“ Eh naiklah ke rumah. Apa pasal tercegat dekat kereta ni,” pelawa ibu sambil menarik tangan Sarina, anak keduaku.
Terima kasih ibu kerana masih menghargai anak-anakku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan