SEBUAH BLOG MEMAPARKAH KERENAH KEHIDUPAN DAN KESINISAN ALAM DENGAN SEGALA ISINYA.
Selasa, 15 November 2011
RUMAH AGAM
Rumah agam tersergam menambat hati untuk mengeledah di setiap ceruk dan tingkat. Apabila hati berbisik-bisik begitu, rumah agam dipasak tiangnya satu demi satu di lubuk hati.
JETI PULAU TIOMAN
Setiap musim angin berhembus, kapal datang dan pergi dan yang menunggu bakal membayangkan kegumbiraan di tempat baru.
Ahad, 13 November 2011
ALAM YANG MENDAMAIKAN
Taman Gelora
Sekali sekala ke sana untuk menghirup kesegaran bayu dari Laut China Selatan, sempat juga mencicah kemasinan air yang jernih. Anak-anak ikan berenangan tampak putih memutih. Pepohon Ru menampan panas mentari bagai seorang ibu memayungi anak kecilnya.
Teratak
Siapakah yang tidak ingin mendiami sebuat teratak yang selesa untuk berlunjur, yang indah dipandang di hujung mata dan damai di lubuk hati.
Khamis, 27 Oktober 2011
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis ilmu-ilmu Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Luqman: 27)
Meninggalkan harta untuk keluarga
" Sesungguhnya kamu meninggalkan keluargamu dalam keadaan berharta adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa sehingga terpaksa meminta-minta (dan akan menyusahkan orang lain)." [H.R. Bukhari dan Muslim]
MENUNGGU MALAM YANG PENUH BARAKAH
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!".
Surah Al-Qadr 97: Ayat 1-5
Seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun 3 bulan bersamaan satu malam LAILATUL QADAR
Ya Rabbi - keampunan-Mu dipohon.
Wahai Rabbku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan dosa dosa yang banyak, maka sesungguhnya tidak ada yang akan dapat mengampuni dosa – dosa itu kecuali Engkau, maka berikanlah aku maghfiroh dan rahmat dari sisi- Mu. Sesungguhnya Engkau Zat yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Amiin Yaa Rabb.
Rabu, 28 September 2011
MAAHADSAS JENGKA DALAM KENANGAN
Dua kali berkhidmat di sekolah ini menjadikan aku tertanya-tanya apakah ada peluang untuk kali seterusnya berkhidmat di situ.
Maahad As-Sultan Ahmad Shah, sekolah agama kerajaan Pahang yang dibangunkan di tapak seluas 70 ekar itu memberi banyak pengalaman suka duka sepanjang bertugas di situ pada 1977 - 1998 dan pada Mac 2008 - Mac 2011.
Di dalam kehidupan, pengalaman itu adalah peta-peta kehidupan yang menginsafkan.
Khamis, 22 September 2011
MENUNTUT ILMU
Untuk menjadikan urusan kehidupan di atas dunia ini mudah dan lancar sangat memerlukan kepada ilmu. Pekerjaan menuntut ilmu mestilah menjadi agenda kehidupan sepanjang hayat. Orang-orang yang tidak mahu kepada ilmu, maka kehidupannya tidak punya tujuan dan tidak punyai nilai apa-apa.
ANAK - KAU PERLU TERUS BERJUANG
Anak.
Hentikan tangisanmu. Tegakkan mukamu. Buka matamu. Pandang jauh ke hadapan. Di sana ada kehidupan untukmu. Bangun dan berjalan ke arah itu. Sematkan di hatimu bahawa kamu mampu sampai ke sana walaupun halangan dan rintangan itu semacam mencabut nyawamu. Kamu mesti gagah untuk terus melangkah
Anak.
Di hadapanmu bermacam kerasukan duniawi yang memaksamu memilih antara yang hak dan batil.
Wahai anak, jangan kau takut tempuhi hari depan. Di hadapan sana pasti ada harapan.
Tabahkanlah dirimu walau apa jua melintang
Tabahkanlah dirimu walau apa jua melintang
RAKIT
Kenderaan air yang dicipta dari buluh ini digunakan oleh penduduk tepian sungai. Satu ketika dahulu, kenderaan ini sangat berguna . Rakit digunakan di sungai selain perahu untuk mengangkut hasil mashul. Selain itu, rakit digunakan sebagai rajang untuk membawa seseorang melintasi sungai.
Rabu, 21 September 2011
BARANG HANTARAN PERTUNANGAN
Demi untuk menautkan kasih-sayang yang mula berputik, hadiah semahalnya dihantar untuk si gadis. Betapa hati gadis terhibur akan pemberian, demikian hati teruna penuh ikhlas menagih kasih. Barang hantaran sebagai lambang keikhlasan untuk menzahirkan percintaan. Demikian alam kehidupan melangkah ke fasa ke-2 berumahtangga memang menuntut persefahaman dan kasih-sayang.
MENDIDIK ANAK-ANAK SOLAT
Bukan mudah untuk membiasakan anak-anak untuk menunaikan solat. Semuanya bermula di rumah di bawah jagaan ayahanda bonda. Jika di peringkat awal perkara ini tidak dititikberatkan, maka pengabaian itu menjadi satu tabiat melengah-lengahkan suruhan wajib itu.
Apabila anak-anak dihantar ke asrama, bukanlah selesai sudah tanggungjawab ibu bapa dalam hal mendidik anak-anak mereka bersolat.
Isnin, 19 September 2011
PUNCAK BANJARAN TITIWANGSA
Alam gunung-ganang cuma membentang kehijauan alam dan putih kebiruan langit. Warna- warna yang saling bertentangan begitu mesra menghiasi pandangan mata. Hutan yang menghijau mendamaikan hati yang sedang duka dan langit yang putih membiru melembutkan hati yang mengeras kaku.
Demikian kejadian Allah atas alam ciptaannya. Disusun segala warna untuk manusia menghayati keindahan yang tidak ternilai nikmatnya.
KESEPIAN MALAM
Malam hitam likat membeku gerak, menggerak dengar. Setitip cahaya amat bermakna mencerahkan fikir untuk melakukan ikhtiar. Malam yang panjang tanpa purnama yang mengambang melesukan fikir kecuali kepada mereka yang punya hati yang dapat melihat jauh menembusi warna alam.
EMBUN YANG MENITIS ITU
Pagi masih dingin dan embun masih mengirai diri. Sejuk membalut rasa tubuh, mencengkam jauh ke sum-sum. Titisan embun memaut setiap ruang seperti juga kedinginan memaut rasa ke serata tubuh. Ketika mentari membuka mata, embun mula menghindar setitis demi setitis. Yang tinggal tidak akan bertahan dan demikian berulang ganti peristiwa itu sehari demi sehari.
Rabu, 31 Ogos 2011
Rabu, 24 Ogos 2011
AIR YANG JERNIH
Air yang jernih terbit terjun dari celahan rekanan batu mengalir terus ke dasar curam. Tentu sekali kedinginannya memikat hati untuk mengerakkan tubuh merendam rasa penuh gembira. Air jernih menyerikan hidup, menyegarkan rasa dan menumbuhkan cita.
Selasa, 16 Ogos 2011
BERSAMA-SAMA ISTERIKU
Tidak selalu dapat bersiar-siar menghirup udara segar bersama-sama isteri tercinta. Namun dalam kesibukan dan kesuntukan masa, ruang dan peluang yang sedikit dimanfaatkan untuk berjalan-jalan mengedari bibir Pantai Gelora Kuantan. Kehidupan adalah selisih daripada setiap perisitwa yang bercampur-campur duka sedih dan tawa gumbira. Kita melalui semuanya kerana kita ingin terus hidup.
Isnin, 15 Ogos 2011
NOVEL MEREKA YANG TERTEWAS
Saya tidak menjangka novel ini diangkat sebagai teks sastera yang diperaku kekuatannya. Cerita yang digarap agak biasa-biasa sahaja. Cuma oleh world view Islam yang ditampilkan, novel ini dianggap sangat bagus pada sekitar tahun-tahun 1990-an.
Novel ini mula ditulis pada penghujung tahun 1986. Pada tahun 1987, saya menghantar novel ini ke DBP untuk tujuan pertandingan ' Sayembara Penulisan Novel Berunsur Islam ' anjuran DBP dan Yayasan Pelajaran Islam. Al-hamdulillah, novel ini berjaya dinobatkan sebagai pemenang hadiah sagu hati. Pada tahun 1991 - 2001, novel ini dijadikan teks Kesusastraan Melayu Bagi Mata Pelajaran Sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Novel ini mula ditulis pada penghujung tahun 1986. Pada tahun 1987, saya menghantar novel ini ke DBP untuk tujuan pertandingan ' Sayembara Penulisan Novel Berunsur Islam ' anjuran DBP dan Yayasan Pelajaran Islam. Al-hamdulillah, novel ini berjaya dinobatkan sebagai pemenang hadiah sagu hati. Pada tahun 1991 - 2001, novel ini dijadikan teks Kesusastraan Melayu Bagi Mata Pelajaran Sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Ahad, 14 Ogos 2011
JUADAH BAKAR
Bukan omongan kosong akan perihal keenakan juadah bakar-bakaran. Ada yang ketagihan untuk menikmatinya saban minggu dan saban bulan. Ada yang sudah mengatur jadual rutin sesama rakan untuk satu majis santai menikmati juadah bakar bakaran.
BERAT-BERAT MATA MEMANDANG
Dengan muatan sarat, lori bergerak lambat berhati-hati dan ingin selamat. Apakah sangat penting memuat sarat muatan untuk kemudiannnya memperjudikan nyawa pengguna jalanan lain? Kadang-kadang kita tidak dapat memahami keinginan untuk meraih laba sehingga sedemikian nekad perlu mempertaruhkan nyawa.
Khamis, 11 Ogos 2011
SMA AL-FALAH BATU TALAM, RAUB
Melangkah kaki ke madrasah ini menjadikan diri jadi lebih perkasa untuk meneruskan perjuangan. Apakah madrasah yang tidak dikenali ini akan terus dilupakan atau ada sinar yang bakal menyerlah dengan kehadiranku. Di sana ada cita-cita dan di sana juga menuntut seperkasa usaha.
NOSTALGIA ASRAMA
Tika pagi, berebut anak-anak menyidai busana dan segalanya dengan harapan cukup besar akan nanti petang dapat menikmati keselesaan berpakaian. Namun apakah tidak pernah terdetik di hati mereka akan hujan yang bakal runtuh di tengah hari?
Jumaat, 5 Ogos 2011
ASAP YANG MENGHEMBUS
Alam kasar cuma menyajikan gerak yang pantas dan keriuhan sorakan dan jerit pekik. Namun jarang sekali terfikir akan peri kehidupan hidupan kenit yang bergerak lembab dan lamba. Apakah dengan tebaran segumpal asap akan menghambat sederap langkah lalu menjadi sekilas pantas. Hidupan kenit adalah makhluk yang dijadikan dengan kekurangan dan kelebihan yang tidak mampu manusia menafsirkannya.
Rabu, 3 Ogos 2011
KERESAHAN MALAM
Malam cuma membekalkan gelita hitam pekat. Yang zahir pada pandangan mata cuma sekitaran cahaya yang semakin malap ke bahagian tepi. Yang jelas kelihatan dapat diungkap rupanya dengan barisan kata-kata. Kegelapan menutup segala cerita duka suka.
Selasa, 2 Ogos 2011
KEM KEPIMPINAN MAAHADSAS JENGKA 2011
Menghadirkan diri ke kursus kepimpinan pengawas memang menjadi rutine saban tahun. Cuma kali ini lokasi Kela Advanture Camp, Raub menagih keperihatinan lebih dari biasa. Kem yang terletak di kaki banjaran Titiwangsa ini sejuk dingin pada sebelah malam dan pada sebelah siang sentiasa redup dilindungi bayangan pepohonan. Selamat maju jaya MaahadSas Jengka .
ISTERI TERCINTA
Nor Aliza Mohamad Hanib. Dia menjadi suri hati, menanggung suka duka kehidupan bersama-sama sejak Nov. 1990. Perih kehidupan menjadikan dia gagah menguruskan anak-anak dan rumahtangga.
BERSAMA ACARA DENGAN MARSLI N.O,
Tidak terduga sama sekali dapat bersama-sama satu acara dengan penyair Marsli N.O. di Program Sastera Remaja yang dilangsungkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran Nov. 2010. Apabila sudah berada dalam satu acara, banyak perkara yang dapat dibincangkan dan banyak idea yang dapat dilontarkan kepada khalayak pelajar yang menyertai program tersebut.
ANAKANDA BEREMPAT
Anak-anak adalah permata hati ibu bapa. Ada permata yang menyinar membahagia rasa dan jiwa. Ada permata yang kusam lalu melara qalbu ayahanda bonda. (Dalam gambar: Sa'id Badi'urzaman, Ali Shari'ati, Fatima Zahraa, 'Aisyah Syahirah)
KUNJUNGAN ANAK -CUCU
Indahnya kehidupan seorang datok apabila anak-cucu datang berkunjung. Seri kehidupan berkeluarga berkembang semerbak meliputi taman hati. Ingatan dipahat jauh di sudut hati dan dan doa dipanjat ke hadrat Ilahi semoga keselamatan hidup itu berkekalan afiat.
KELUARGA TERCINTA
Adanya cinta itu baru datangnya bahagia. Dalam pertandingan tinju, dua pemain akan bertumbukan kerana setiap pihak adalah musuh kepada pihak yang lain. Namun dalam hidup berkeluarga, pertelingkahan juga berlaku untuk satu proses penyesuaian. Hal itu berlaku kerana cinta itu menuntut satu kebahagiaan yang berpanjangan.
SANTAI DI PAGI AIDILFITRI
Bukan selalu dapat bertemu sanak saudara. Bukan selalu juga dapat merasai juadah pelbagai rasa. Di pagi Aidilfitri yang cukup syahdu ini, semuanya dapat menjamu rasa dan menjamu cita.
Langgan:
Catatan (Atom)