Cuba
kubayangkan keadaan ibu setibaku ke rumah nanti. Tentu ibu sedang
menunggu sambil mengayam ketupat daun palas atau sedang membakar lemang
atau sedang merendang daging di dapur dan kulihat wajahnya gembira
menyambut kepulangan anak cucunya.
“ Balik kampung,” bisik hatiku girang. Hari raya ini ingin
kupersembah kepada ibu sebuah kasih yang tiada sempadan. Lalu
kutelefon ibu. Ibu menjawab spontan.
Ketibaanku bersama-sama
isteri dan anak-anak sesarat kereta tepat waktunya dan tidak lupa
ole-ole biskut dan kuih Raya kurangkum bersama-sama.
Ketika
keretaku berhenti di halaman rumah, Kulihat ibu menekuni pembacaan
al-Quran di beranda dan ketika anak-anakku keluar dari kereta, dia
menjengah muka. Ingin pastikan anak siapa yang datang bertandang.
Sekuntum senyum terlukis lalu dia bingkas bangun, menyimpan nashkah
al-Quran di atas almari dan berjalan laju menuju ke keretaku.
Ibu memelukku sesantunnya dan aku terasa kehangatan air mata ibu.
Ternyata dia amat rindu kepada sekujur tubuhku lalu Ibu bertanya” Along
dan Atam tidak pulang tahun ini? “
Naluriku tersentuh. Itulah
ingatan ibu saban tahun kepada mereka dan adakah pertanyaan itu akan
terlontar menuju kepadaku jika Along dan Atam pulang dahulu. Cemburu
membenih di hatiku membuahkan keinsafan. Aku bukan anak yang berjaya
seperti along dan atam. Aku cuma peniaga kecil bekerja sendiri.
‘Mereka akan menyusul nanti,” kataku terkilan bernada sebak dan
sebenarnya aku tiada pilihan lain selain untuk menghiburkan hati ibu.
Sengaja kukata begitu walaupun Along dan Atam tidak menyambut
panggilan telefonku sejak minggu lalu.
Ibu angguk kepala.
"
Ibu seronok jika mereka pulang beraya bersama-sama. Ibu bukan nak duit
puit mereka. Ibu hendakkan keikhlasan daripada belahan hati yang
luhur... .Seronok menengok anak-anak mereka yang kian membesar melompat
berlari, seronok mendengar kepetahan anak mereka bercerita dan masakan
Maria isteri Along sangat menguja selera ibu.”
Aku tunduk
lesu. Ada air jernih mengalir dari kolam mataku. Apakah isteriku
Melisa tidak seenak masakannya pada lidah selera ibu?
Namun aku
akur. Ibu memang begitu. Bahasanya tidak pernah berlapik selembut
salju terhadap anak-anaknya. Dia menutur kata dari keikhlasan hatinya.
“ Eh naiklah ke rumah. Apa pasal tercegat dekat kereta ni,” pelawa ibu sambil menarik tangan Sarina, anak keduaku.
Terima kasih ibu kerana masih menghargai anak-anakku